Kompetensi Guru Pendidikan Khas dari Aspek Pengetahuan, Kemahiran dan Sikap dalam Pelaksanaan Rancangan Pendidikan Individu
List of Authors
Ahmad Radenan Mohd Shukri, Hasnah Toran
Keyword
Rancangan Pendidikan Individu, Kompetensi Guru Pendidikan Khas, Pengetahuan, Kemahiran, Sikap
Abstract
Rancangan Pendidikan Individu (RPI) merupakan kerangka perancangan pedagogi teras dalam pendidikan khas yang bertujuan memastikan keperluan pembelajaran murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) ditangani secara sistematik dan selaras dengan keupayaan individu. Dalam konteks sistem pendidikan di Malaysia, pelaksanaan RPI merupakan satu keperluan profesional yang perlu dipatuhi oleh guru sebagai sebahagian daripada amalan pengajaran yang bertanggungjawab. Walau bagaimanapun,pelaksanaan RPI di peringkat sekolah masih berhadapan dengan pelbagai cabaran, khususnya dari segi keupayaan guru untuk memahami,mengaplikasikan dan menghayati prinsip-prinsip RPI dalam amalan pengajaran seharian. Sehubungan itu,tahap kompetensi guru dari aspek pengetahuan, kemahiran dan sikap profesional dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi kualiti pelaksanaan RPI. Kajian ini bertujuan menilai tahap pengetahuan, kemahiran dan sikap guru pendidikan khas serta menganalisis hubungan antara ketiga-tiga dimensi kompetensi tersebut dalam konteks pelaksanaan RPI di Program Pendidikan Khas Integrasi(PPKI). Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan reka bentuk tinjauan yang melibatkan seramai 86 orang guru pendidikan khas di sekolah-sekolah PPKI di daerah Kuala Krai,Kelantan. Instrumen kajian berbentuk soal selidik berstruktur yang dibangunkan berasaskan Model Kompetensi Spencer (1993) dan telah melalui proses kesahan serta kebolehpercayaan. Data dianalisis menggunakan statistik deskriptif melalui perisian SPSS versi 29.0, manakala ujian korelasi Spearman digunakan bagi menilai kekuatan dan arah hubungan antara pemboleh ubah kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan, kemahiran dan sikap guru terhadap pelaksanaan RPI berada pada tahap yang tinggi.Selain itu,analisis korelasi membuktikan wujud hubungan yang signifikan antara ketiga-tiga dimensi kompetensi yang dikaji (p < .01), dengan hubungan paling kuat dikenal pasti antara pengetahuan dan kemahiran.Secara keseluruhannya, dapatan ini mengesahkan bahawa pelaksanaan RPI yang berkesan menuntut penguasaan kompetensi guru secara menyeluruh dan bersepadu, di samping menyokong keperluan untuk memperkukuh pembangunan profesional guru pendidikan khas secara berterusan. Selain itu implikasi teoritikal kajian ini penting untuk memandu pembinaan model pelaksanaan RPI yang lebih kontekstual, menjelaskan bukan sahaja tahap kompetensi guru, tetapi juga mengapa dan bagaimana kompetensi tersebut diterjemahkan kepada amalan sebenar di bilik darjah. Kajian lanjutan dicadangkan menggunakan pendekatan kaedah campuran dengan saiz sampel yang lebih besar bagi memperoleh dapatan yang lebih komprehensif dan mendalam.