Pelarian Etnik Rohingya di Malaysia: Persepsi Awam Dan Cadangan Penghantaran Pulang
List of Authors
  • Hairunnisa Zakaria

Keyword
  • Keselamatan, Malaysia, Penghantaran Pulang, Persepsi, Rohingya

Abstract
  • Meskipun Malaysia bukan negara penandatangan kepada Konvensyen 1951 mengenai Status Pelarian dan Protokol 1967, negara ini tetap menjadi antara destinasi utama pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan dan keganasan di Myanmar. Malaysia dilihat sebagai lokasi yang selamat dan stabil, serta menawarkan peluang ekonomi yang lebih baik berbanding negara asal atau lokasi transit lain. Namun, kebanjiran komuniti ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat tempatan, khususnya apabila isu jenayah, tekanan terhadap perkhidmatan awam, dan konflik budaya semakin kerap dilaporkan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan data diperoleh daripada sumber primer dan sekunder. Data primer dikumpul daripada 161 temubual bersama respondan dan pemerhatian di kawasan terlibat. Data sekunder daripada sumber empirikal seperti disertasi, jurnal dan data dalam talian. Kajian ini mempunyai tiga objektif, iaitu 1) Menganalisis persepsi awam di Malaysia terhadap kebanjiran etnik Rohingya; 2) Mengkaji tanggapan masyarakat terhadap peranan kerajaan dalam mengurus komuniti etnik Rohingya di Malaysia; dan 3) Mencadangkan strategi penghantaran pulang dan penempatan semula pelarian etnik Rohingya. Hasil kajian ini mendapati 1) Penduduk tempatan berasa terancam dan tidak selesa apabila kawasan kediaman mereka menyaksikan peningkatan komuniti etnik Rohingya; 2) Persepsi awam menunjukkan pandangan negatif terhadap keupayaan kerajaan dalam mengurus kebanjiran etnik Rohingya secara berkesan, khususnya daripada segi penguatkuasaan serta pemantauan; dan 3) Sebilangan besar komuniti tempatan di Malaysia berpandangan bahawa pelarian etnik Rohingya wajar dihantar pulang atau ditempatkan semula di negara ketiga, berbanding membenarkan mereka menetap secara kekal di Malaysia. Kajian ini menyarankan supaya Malaysia menggubal dasar pelarian yang komprehensif, memperkukuh koordinasi dengan agensi antarabangsa seperti UNHCR, serta melaksanakan program penghantaran pulang secara sukarela dan penempatan semula yang tersusun bagi menangani isu kebanjiran etnik Rohingya secara lebih berkesan.

Reference
  • No Data Recorded