Ulasan Artikel, Undang-Undang Ekstradisi, Rangka Kerja Perundangan, Analisis Perbandingan, Malaysia, Singapura
Abstract
Artikel "Extradition in Singapore and Malaysia" oleh Janice M. Brabyn, yang diterbitkan pada 1985, merupakan satu analisis perbandingan terawal mengenai undang-undang ekstradisi di Malaysia dan Singapura. Artikel tersebut mengupas sejarah perkembangan ekstradisi, prinsip asas ekstradisi serta perbandingan prosedur ekstradisi antara kedua-dua negara. Walaupun artikel tersebut menjadi rujukan penting dalam memahami rangka kerja ekstradisi di Malaysia dan Singapura, perkembangan undang-undang ekstradisi yang ketara sejak penerbitannya menunjukkan keperluan untuk suatu kajian yang lebih terkini. Pemansuhan Ordinan Ekstradisi 1958 dan Akta Penjenayah-Penjenayah Buruan Komanwel 1967 yang digantikan dengan Akta Ekstradisi 1992 di Malaysia serta pelbagai semakan dan pindaan terhadap Akta Ekstradisi 1968 di Singapura telah memberi impak signifikan dalam prosedur ekstradisi kedua-dua negara. Sehubungan itu, ulasan ini menilai sumbangan artikel tersebut dengan menganalisis kekuatannya termasuk perbincangan mengenai perkembangan sejarah, prinsip asas serta perbezaan prosedur ekstradisi di kedua-dua negara serta kelemahannya iaitu kekurangan analisis terkini terhadap perubahan undang-undang ekstradisi. Selain itu, ulasan ini turut menekankan keperluan untuk kajian lanjut dalam menilai kesan perubahan undang-undang ekstradisi serta cabaran kontemporari termasuk jenayah rentas sempadan dan isu hak asasi manusia dalam konteks ekstradisi. Kajian lanjut ini berpotensi melengkapkan serta mengemas kini perspektif dan analisis yang dikemukakan dalam artikel tersebut.