Kepimpinan instruksional merupakan salah satu aspek penting dalam konteks pendidikan yang dapat memberi impak besar terhadap prestasi dan motivasi guru. Amalan kepimpinan tersebut bertujuan untuk meningkatkan efikasi kendiri guru dan seterusnya meningkatkan keyakinan dan kepercayaan guru terhadap keupayaan diri mereka untuk memberikan pengajaran yang berkesan. Kertas konsep ini bertujuan untuk mengenalpasti amalan kepimpinan instruksional yang diamalkan oleh guru besar di sekolah dan efikasi kendiri guru selain mengetahui hubungan antara amalan kepimpinan tersebut dengan efikasi kendiri guru di sekolah rendah daerah Jelebu, Negeri Sembilan. Kajian ini adalah berbentuk tinjauan dan menggunakan pendekatan kuantitatif. Borang soal selidik diedarkan secara atas talian. Responden kajian terdiri daripada 95 orang guru sekolah rendah di sekitar daerah Jelebu. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa tahap kepimpinan instruksional guru besar secara keseluruhannya adalah pada tahap yang tinggi (min= 4.2, s.p.= 0.6). Selain itu, efikasi kendiri guru dalam kalangan responden adalah pada tahap sederhana tinggi (min=3.8, s.p.= 0.8). Hasil analisis ujian korelasi pearson telah menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kepimpinan instruksional guru besar dan efikasi kendiri guru (r=.611, p<0.01). Dapatan ini telah memberi implikasi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memajukan pengamalan dasar, latihan dan amalan di sekolah yang lebih baik. Kesimpulannya, bagi meningkatkan efikasi kendiri guru, guru besar haruslah memainkan peranan dalam melaksanakan kepimpinan instruksional yang kreatif dan inovatif dalam amalan kepimpinannya.