Busyboard bukanlah sesuatu yang baru di dalam dunia pendidikan awal kanak-kanak. Busyboard atau permainan papan sibuk ini ialah sebuah permainan yang direka khas untuk kanak kanak seawal usia 10 bulan sehingga 4 tahun. Busyboard sebagai alat pedagogi dapat membantu perkembangan kanak-kanak secara holistik. Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat perkembangan fizikal motor halus kanak-kanak dalam menggunakan busyboard di taska. Kajian ini telah dijalankan di sebuah taska di daerah Dengkil, Selangor. Reka bentuk kajian yang dijalankan adalah dengan menggunakan kajian tinjauan. Kajian ini melibatkan enam orang kanak-kanak taska iaitu lima orang kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki yang berumur diantara dua hingga empat tahun. Instrumen kajian ialah borang senarai semak dan temu bual. Borang senarai semak yang digunakan adalah mengenai tahap perkembangan fizikal motor halus kanak-kanak sebelum dan selepas aktiviti menggunakan busyboard. Manakala temubual bersama guru taska pula dijalankan untuk mendapatkan pandangan terhadap perkembangan fizikal motor halus kanak-kanak dalam aktiviti menggunakan busyboard. Hasil kajian menunjukkan bahawa aktiviti fizikal menggunakan busyboard memberi impak yang positif dalam membantu perkembangan motor halus kanak-kanak dan amat wajar digunakan sebagai alternatif kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran di taska. Busyboard ini mampu melatih guru-guru pendidikan awal kanak-kanak supaya lebih kreatif dan berinovasi dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di taska serta memahami peringkat perkembangan kanak-kanak supaya mudah untuk berinteraksi dengan mereka. Sebagai kesimpulan, busyboard amat sesuai untuk kanak-kanak kerana melibatkan permainan atau bahan-bahan persekitaran yang dekat dengan mereka. Justeru, penggunan busyboard dalam sistem pembelajaran adalah sesuai dan berguna sebagai satu pedagogi dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak.