Industri pada masa kini tertumpu kepada keperluan inovasi teknologi canggih yang memerlukan aplikasi dalam bidang matematik. Perkara ini memberi kesan terhadap penggubalan kurikulum matematik yang semakin kompleks yang menyumbang kepada masalah kebimbangan matematik dalam kalangan pelajar. Kajian sorotan literatur bersistematik (SLR) ini akan membincangkan literatur berkaitan faktor kebimbangan matematik dalam kalangan pelajar. Kajian dilaksankan secara sistematik berpandukan PRISMA (Preferred Reporting Items for Systematic Reviews and Meta-analyses) untuk proses saringan artikel-artikel kajian lepas dari pangkalan data Web of Science (WOS) dan Scopus. Sebanyak 24 artikel telah terpilih dan dianalisis untuk menjawab persoalan kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kebimbangan matematik yang berlaku dalam kalangan pelajar adalah disebabkan oleh faktor persekitaran, faktor peribadi dan faktor kognitif. Hasil analisis mendapati faktor persekitaran dan faktor peribadi menjadi penyumbang utama kepada masalah kebimbangan matematik dalam kalangan pelajar. Diharapkan agar pengesanan awal dibuat oleh guru matematik dan ibu bapa supaya pelajar dapat diberikan intervensi yang bersesuaian untuk menangani masalah kebimbangan matematik dalam kalangan pelajar.