Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji teknik penstrukturan semula kognitif kepada individu yang mengalami kecelaruan bipolar. Penyelidikan ini merupakan kajian kualitatif yang menggunakan reka bentuk kajian kes. Jenis kajian kes yang digunakan adalah kajian kes intrinsik. Penyelidikan ini menggunakan persampelan bertujuan terdiri daripada enam orang individu yang mengalami kecelaruan bipolar yang telah didiagnosis oleh pakar psikiatri. Responden dalam kajian ini adalah seramai enam orang iaitu dua orang partisipan yang telah didiagnos sebagai bipolar I dan empat orang partisipan yang telah didiagnos sebagai bipolar II. Temubual klinikal protokol digunakan dalam penyelidikan ini diselaraskan dengan mengikuti temubual separa berstruktur. Borang temubual klinikal protokol yang digunakan dalam penyelidikan ini disemak oleh pakar perunding psikiatri, pakar perubatan keluarga, pakar psikologi klinikal dan lain-lain. Data analisis menggunakan analisis tematik daripada Atlas.ti 9. Dapatan kajian menunjukkan tiga tema yang terhasil daripada persoalan kajian iaitu tema pertama adalah pola pemikiran pesakit kecelaruan bipolar yang mengalami simptom kecelaruan bipolar. Tema kedua adalah, teknik penstrukturan kognitif dan terapi tingkah laku untuk mengurangkan simptom kecelaruan bipolar. Tema terakhir yang terhasil ialah kesan intervensi penstrukturan kognitif dan terapi tingkah laku yang sesuai ke atas pesakit kecelaruan bipolar. Kajian ini memberikan implikasi kepada individu professional, pesakit yang menghidapi kecelaruan bipolar dan universiti. Kesimpulannya, kajian ini adalah amat baik dijalankan kepada individu yang mengalami kecelaruan bipolar dan perlu diperluaskan kerana hasil dapatan kajian menunjukkan terdapat perubahan yang positif ditunjukkan oleh peserta kajian.