Situasi pasca COVID-19 mempercepatkan kemunculan gaya kepimpinan baharu iaitu kepimpinan digital. Bagi mengukur tahap kepimpinan ini dalam kalangan guru, satu instrumen dinamakan Situational Judgement Test (SJT) telah dibangunkan. Instrumen baharu ini memerlukan penilaian kesahihan, khususnya kesahan muka (face validity) yang menilai sejauh mana item difahami serta relevan dengan konstruk diukur. Kajian ini bertujuan menilai kesahan muka SJT kepimpinan digital guru menggunakan Content Validity Ratio (CVR) untuk mendapatkan konsensus pakar, meneroka pandangan refleksi terhadap kepimpinan digital, serta mencadangkan prospek kepimpinan masa hadapan. Selain itu, kajian ini turut meneroka pandangan tentang kepimpinan digital secara refleksi untuk tindakan (reflection for-action); serta mencadangkan prospek kepimpinan berkaitan praktis semasa. Penggunaan CVR dipilih kerana kaedah ini jarang dibincangkan dalam konteks SJT dan bukti empirikal masih terhad. Kajian menggunakan reka bentuk tinjauan kuantitatif melibatkan lapan orang panel pakar melalui persampelan bertujuan: tiga guru sekolah rendah, tiga guru sekolah menengah dan dua pakar pendidikan berijazah kedoktoran. Soal selidik tiga skala digunakan bagi menilai kesesuaian item: tidak sesuai, sesuai dengan penambahbaikan, dan sesuai. Analisis CVR dijalankan menggunakan Microsoft Excel. Daripada 45 item dibangunkan, 36 diterima manakala sembilan perlu disemak semula dari segi tatabahasa, struktur ayat dan pemilihan perkataan bagi memastikan kefahaman yang jelas kepada responden sebenar. Analisis CVR memberikan bukti empirikal terhadap kesesuaian dan kerelevanan item serta pilihan jawapan SJT dalam menilai kepimpinan digital guru. Kajian mengenai kesahan muka Ujian Penilaian Situasi (SJT) bagi kepimpinan digital guru ini turut membuka ruang refleksi terhadap cabaran dan prospek amalan kepimpinan digital dalam konteks pendidikan abad ke-21. Kajian lanjutan disaran melibatkan guru pelbagai jenis sekolah dengan menggunakan analisis tambahan seperti Fuzzy Delphi Method (FDM), Fleiss Kappa atau Cohen’s Kappa bagi memperkukuh kesahan muka instrumen SJT kepimpinan digital guru.