Sisa makanan merupakan komponen terbesar dalam aliran sisa pepejal di Malaysia, merangkumi kira-kira 44% daripada jumlah sisa yang dijana setiap hari. Di Kedah, sisa makanan menyumbang 34.6% daripada keseluruhan sisa pepejal pada tahun 2023. Namun, pengurusan sisa makanan masih bergantung kepada tapak pelupusan (TP) sebagai kaedah utama, walaupun negeri tersebut telah memperkenalkan teknologi pencernaan anaerobik (Anaerobic Digestion, AD). Penggunaan teknologi ini masih terhad kepada kawasan perumahan tertentu, dan hasil seperti baja kompos serta biogas belum dimanfaatkan secara komersial. Kebergantungan berterusan terhadap TP bukan sahaja memendekkan jangka hayat tapak pelupusan, tetapi turut meningkatkan pelepasan gas rumah hijau seperti karbon dioksida (CO₂) dan metana (CH₄) yang menjejaskan alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat. Kajian ini menganggarkan kos sosial pengurusan sisa makanan dan mengenal pasti dasar paling kos efektif untuk mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon sebanyak 10% (RT10% CO₂) dan 20% (RT20% CO₂). Data sekunder diperoleh daripada SWCorp, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta literatur terdahulu berkaitan kos rawatan sisa, kadar pelepasan CO₂ dan nilai kewangan karbon. Model pengoptimuman digunakan bagi mensimulasikan lapan senario dasar (S1–S8) yang menggabungkan pelupusan dengan alternatif seperti pengkomposan domestik (HC), pengkomposan berpusat (CC), pencernaan anaerobik (AD) dan penggunaan sisa makanan sebagai makanan ternakan (AF). Hasil analisis Nilai Kini Bersih (NKB) dan Analisis Kos Efektif (CEA) menunjukkan bahawa pada tahap RT10% CO₂, dasar berasaskan pengkomposan (S2, S6, S7) paling kos efektif, dengan penjimatan antara RM1,850 hingga RM2,700 per tan CO₂. Namun, pada tahap RT20% CO₂, dasar berasaskan teknologi bio (S8, S7, S3) menjadi lebih efisien dengan penjimatan antara RM3,200 hingga RM4,300 per tan CO₂. Kajian ini mencadangkan strategi bertahap yang memfokuskan pengkomposan komuniti pada fasa awal dan pelaburan teknologi bio pada fasa lanjutan bagi menyokong SDG 11, SDG 12.3 dan SDG 13.