Pelaksanaan strategi pembelajaran bahasa (SPB) dalam meningkatkan kemahiran menulis dilihat sebagai salah satu pendekatan terbaik bagi mengatasi masalah dari segi teknik menulis, penguasaan tatabahasa dan kosa kata dan kurangnya minat dan motivasi pelajar semasa pembelajaran bahasa. Objektif kajian ialah untuk mengenal pasti kekuatan, cabaran pelaksanaan serta mengenal pasti cadangan penambahbaikan SPB untuk meningkatkan kemahiran menulis pelajar. Dapatan kajian dari aspek kekuatan pelaksanaan SPB menunjukkan bahawa pelajar menggunakan kepelbagaian SPB berdasarkan kemahiran menulis pada tahap tinggi seperti merangka isi-isi penting sebelum menulis esei, mengakses intenet untuk mendapatkan sumber rujukan dan penulisan yang baik dan mencatat nota semasa sesi pembelajaran antara yang kerap dipraktikkan oleh pelajar. Dari aspek cabaran pelaksanaan SPB, kurangnya minat dan motivasi pelajar serta kelemahan penguasaan tatabahasa dan kosa kata terutamanya pelajar bukan natif menjadi kekangan kepada keberkesanan SPB. Seterusnya, cadangan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SPB ialah perancangan aktiviti pembelajaran bahasa di dalam bilik darjah harus mengambil kira keperluan dan tahap kognitif pelajar, mewujudkan suasana pembelajaran berpusatkan yang menyeronokkan seperti menyelitkan elemen gamifikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Selain itu, guru dan ahli panitia boleh menggunakan Strategi Pembelajaran Jurnal (SPJ) dan modul karangan sebagai alternatif kepada SPB dalam meningkatkan kemahiran menulis pelajar. Kesimpulannya, setiap pelajar perlu mengenal pasti strategi yang paling sesuai dengan gaya pembelajaran tersendiri bagi meningkatkan penguasaan menulis. Oleh itu, rujukan kepada pendidik untuk merancang aktiviti menulis yang efektif berdasarkan kepelbagaian strategi menulis dalam kalangan pelajar.