Sikap dan motivasi merupakan dua elemen yang penting mendorong murid India untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dengan berjaya. Namun, murid India masih menghadapi kesukaran dalam menerima dan menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di peringkat sekolah. Murid India sukar memperoleh pencapaian yang cemerlang dalam peperiksaan bahasa Melayu di peringkat sekolah. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti sikap dan motivasi murid India sekolah rendah pedalaman Tamil dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Kajian kuantitatif berbentuk kaedah tinjauan melibatkan seramai 50 orang murid India tahun 4, 5 dan 6 dari dua buah sekolah Tamil luar bandar di daerah Kuala Lipis, Pahang dipilih sebagai sampel kajian. Responden kajian dipilih menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Soal selidik digunakan sebagai instrumen utama dalam mengumpul data kajian yang mengandungi 20 item dan terbahagi kepada dua konstruk, iaitu sikap dan motivasi. Pengumpulan data dianalisis menggunakan perisian Microsoft Excel Windows 10 bagi mengutip data kajian. Dapatan kajian menggambarkan bahawa murid India mempunyai sikap yang positif dan motivasi yang tinggi dalam mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Kesimpulannya, murid India menunjukkan sikap yang positif serta motivasi yang tinggi ketika belajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua secara formal. Justeru itu, guru bahasa Melayu harus menggunakan pelbagai jenis teknik dan kaedah yang bersesuaian bagi membentuk sikap positif dan memotivasikan murid India dalam menguasai kemahiran bahasa dengan lebih baik dan seterusnya memperoleh prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan.