Subjek kemahiran hidup asas adalah salah satu subjek yang penting untuk MBK mempelajari bermula di peringkat rendah lagi kerana subjek ini mampu untuk memberikan pendedahan tentang ilmu kemahiran-kemahiran asas seperti ilmu memasak, bercucuk tanam, menjahit dan menternak. Kemahiran-kemahiran yang diperolehi ini membolehkan MBK untuk mengaplikasikan di dalam kehidupan seharian. Satu kajian kuantitatif berbentuk tinjauan ini dijalankan bagi mengenalpasti tahap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran subjek kemahiran hidup murid berkeperluan khas masalah pembelajaran di PPKI sekolah rendah sekitar kawasan Daerah Johor Bahru. Aspek yang ingin dikaji untuk tahap pelaksanaan pdp ini ialah dari segi minat murid, kemahiran guru dan kesedian guru. Seramai 80 sampel daripada 170 populasi telah dipilih secara rawak dan mereka terdiri daripada guru pendidikan khas yang berkhidmat di PPKI sekolah rendah. Borang soal selidik berbentuk Google form yang telah diedarkan melalui dalam talian digunakan sebagai instrumen kajian. Perisian SPSS versi 23 digunakan untuk menganalisis data yang diperolehi. Analisis statistik deskriptif ini dilaporkan dalam bentuk min dan peratusan. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga aspek iaitu minat murid, kemahiran guru dan kesedian guru terhadap tahap pelaksanaan Pdp subjek kemahiran hidup untuk MBK masalah pembelajaran adalah pada tahap yang tinggi. Secara keseluruhannya, seorang guru pendidikan khas masalah pembelajaran yang mengajar subjek kemahiran hidup haruslah mempunyai pengetahuan yang tinggi dan kesediaan yang rapi supaya dapat menarik minat MBK untuk belajar subjek kemahiran hidup disamping dapat memastikan sesi pdp dapat berjalan dengan lancar serta dapat memberi kesan yang baik kepada MBK.