Keberkesanan Pendekatan Pengajaran Dan Pembelajaran Berasaskan Kemahiran Pemikiran Kritikal Dan Penyelesaian Masalah Serta Kepentingannya Kepada Pelajar Sekolah: Kajian Sistematik
List of Authors
  • Nurfaradilla Mohamad Nasri

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Untuk merealisasikan matlamat negara agar pendidikan negara setaraf dengan pendidikan dunia, pembelajaran abad ke-21 (PAK21) telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di peringkat sekolah mulai tahun 2014. Pembelajaran abad ke-21 mempersiapkan pelajar untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar agar mereka mampu menggunakan pelbagai strategi ketika menyelesaikan masalah, mempertimbangkan sudut pandangan yang berbeza, dan meneroka dengan banyak kaedah. Salah satu elemen yang ditekankan dalam pembelajaran abad ke-21 adalah pemikiran kritis yang turut merangkumi penyelesaian masalah. Maka itu, negara Malaysia memerlukan warganegara yang mempunyai kemahiran untuk berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah pada tahap tinggi untuk membangunkan negara. Kajian sistematik ini menganalisis secara terperinci keberkesanan pendekatan pengajaran dan pembelajaran berasaskan kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah serta kepentingannya kepada pelajar sekolah. Kajian sistematik ini menggunakan dua enjin carian pangkalan data, iaitu Google Scholar dan ERIC untuk memilih artikel dan jurnal yang berkaitan dengan tajuk. Artikel dan jurnal yang dipilih untuk tinjauan literatur adalah sekitar tahun 2016 sehingga tahun 2020. Melalui kajian sistematik ini, ianya menunjukkan bahawa pendekatan pengajaran berasaskan pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah adalah sangat berkesan untuk membantu pelajar mengungkapkan idea mereka dengan lebih baik apabila diaplikasikan dalam proses pembelajaran di dalam kelas. Bahkan, melalui kemahiran ini, pelajar dapat mempersiapkan diri mereka kepada alam dan situasi kerja sebenar pada masa akan datang. Dicadangkan agar kesan pendekatan pengajaran kemahiran pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah terhadap pemboleh ubah atau faktor lain seperti persekitaran pendidikan yang berbeza, strategi pembelajaran, dan peranan teknologi dalam membantu meningkatkan kemahiran ini dikaji dalam kajian akan datang.


Reference
  • No Data Recorded