Penyebaran wabak Covid-19 telah memberi impak besar kepada proses pembelajaran para pelajar di Malaysia bermula bulan Mac 2020. Institusi persekolahan terpaksa ditutup dan para guru dan pelajar terpaksa beralih kepada alternatif lain iaitu menggunakan medium atas talian seperti emel, video interaktif, blog dan sebagainya bagi meneruskan kelangsungan pembelajaran. Tujuan kajian ini adalah bagi mengkaji amalan penggunaan medium atas talian oleh para pelajar. Reka bentuk kajian tinjauan dilakukan yang melibatkan 165 responden yang terdiri daripada pelajar Kolej GENIUS@Pintar. Borang soal selidik digunakan sebagai instumen kajian bagi mengkaji dan mengukur tahap penggunaan medium atas talian oleh responden. Data yang diperolehi di analisis secara deskriptif statistik menggunakan perisian ‘Statistikal Package For Social Science’ (SPSS) Versi 23 untuk mendapatkan taburan kekerapan, peratusan dan min. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan medium atas talian oleh para pelajar bagi tahap pengetahuan pelajar adalah 87%, 85% untuk tahap kemahiran pelajar dan 90% pula untuk tahap sikap pelajar. Ini menunjukkan penggunaan medium atas talian bagi kaedah pembelajaran di rumah adalah efektif dan praktikal bagi pelajar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.