Perkembangan kanak-kanak dalam pendidikan awal perlu disokong dengan penglibatan daripada ibu bapa. Sokongan yang diberikan oleh ibu bapa ini merupakan satu konsep tahap penglibatan bagi membantu kanak-kanak untuk mencapai perkembangan yang holistik. Justeru kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji tahap penglibatan ibu bapa terhadap perkembangan kanak-kanak di Tabika KEMAS. Tumpuan utama kajian ini adalah untuk melihat sejauh mana kaitan hubungan antara penglibatan ibu bapa dengan perkembangan kanak-kanak di Tabika KEMAS. Kajian tinjauan menggunakan pendekatan kuantitatif ini dijalankan menggunakan instrumen soal selidik yang telah diuji kesahan dan kebolehkepercayaan dengan nilai Cronbach Alpha iaitu perkembangan kogntif (0.797), perkembangan emosi (0.756), perkembangan sosial (0.740) dan perkembangan bahasa (0.891). Soal selidik kajian ini disediakan kepada sampel kajian melalui Google Form dengan menggunakan kaedah skala likert. Seramai 375 orang yang terdiri daripada ibu bapa daripada 35 buah kelas Tabika KEMAS di Putrajaya telah dipilih berdasarkan kaedah secara rawak bagi mendapatkan maklumat kajian yang dikehendaki. Data dianalisis berdasarkan keputusan dan pengumpulan data yang diterima. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan signifikan yang kuat antara penglibatan ibu bapa dengan perkembangan kanak-kanak dalam aspek Bahasa Komunikasi (0.559), Awal Matematik (0.583) dan Sosiemosi (0.448) pada aras keyakinan p < 0.05 dengan menggunakan Korelasi Spearman. Implikasi kajian menunjukkan bahawa penglibatan ibu bapa memberi kesan yang baik kepada perkembangan kanak-kanak Tabika KEMAS Parlimen Putrajaya. Ibu bapa dicadangkan untuk menggunakan pelbagai pendekatan dalam mewujudkan hubungan yang mesra bersama anak untuk membantu meningkatkan perkembangan mereka secara menyeluruh.