Pemilihan kerjaya yang tepat menjadi keutamaan dan idaman kepada setiap pelajar yang bakal menamatkan pengajian dan memasuki dunia pekerjaan. Dalam hal ini, minat dan efikasi kendiri kerjaya dapat membantu pelajar dalam membuat pemilihan kerjaya. Tujuan kajian ini adalah untuk melihat minat kerjaya dan tahap efikasi kendiri kerjaya pelajar universiti awam dalam pemilihan kerjaya. Seterusnya melihat hubungan antara minat kerjaya dengan tahap efikasi kendiri kerjaya pelajar terhadap pemilihan kerjaya pelajar universiti awam. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif berasaskan kajian tinjauan yang terdiri daripada 90 orang pelajar pendidikan tinggi sebagai sampel kajian. Kajian dijalankan menggunakan instrumen soal selidik secara atas talian dalam bentuk Google Form bagi proses pengumpulan maklumat. Soal selidik mempunyai tiga bahagian kecil iaitu; 1. Maklumat demografi, 2. Tahap minat kerjaya, 3. Tahap efikasi kendiri kerjaya. Seterusnya, data yang diperolehi dianalisis menggunakan analisis diskriptif dan inferensi bagi menjawab persoalan kajian. Dapatan analisis diskriptif menunjukkan nilai min bagi minat kerjaya mengikut subskala kesukaan adalah tinggi (M=1.51, SP=0.19), subskala kecekapan adalah tinggi (M=1.52, SP=0.22) dan mengikut subskala jenis pekerjaan adalah tinggi (M=1.31, SP=0.25). Di samping itu, analisis deskriptif terhadap tahap nilai min keseluruhan bagi tahap efikasi kendiri kerjaya dalam membuat pemilihan kerjaya adalah tinggi (M=4.08). Dapatan analisis kolerasi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan (r = 0.208) antara minat kerjaya dan efikasi kendiri kerjaya dalam membuat pemilihan kerjaya. Dapat disimpulkan melalui hasil kajian ini menunjukkan bahawa minat kerjaya menjadi penyokong kepada efikasi kendiri kerjaya pelajar dalam membuat pemilihan kerjaya. Implikasi dapatan kajian ini dapat menjadi rujukan kepada pelajar pendidikan tinggi agar mempunyai pengetahuan yang lebih berkaitan perjalanan serta haluan perkembangan kerjaya mereka kelak.