Pada masa kini kanak-kanak menjadikan gajet sebagai alat permainan dan juga rakan. Gajet seperti tablet dan telefon pintar menjadi alat yang penting dalam kehidupan mereka. Namun, penggunaan secara berlebihan telah menyebabkan perubahan tingkah laku dalam kalangan kanak-kanak. Ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa. Kajian ini dijalankan untuk melihat persepsi ibu bapa mengenai perubahan tingkah laku kanak-kanak yang disebabkan oleh penggunaan gajet secara berlebihan. Kajian kuantitatif dengan kaedah tinjauan ini melibatkan melibatkan 80 sampel yang mempunyai anak di empat buah prasekolah dan menggunakan gajet. Teknik persampelan bertujuan (purposive sampling) digunakan untuk memilih sampel. Sampel menjawab soal selidik yang mengandungi dua bahagian iaitu demografi dan persepsi perubahan tingkah laku kanak-kanak. Persepsi diukur menggunakan Skala Likert 4 mata terhadap 22 deskripsi perubahan tingkah laku. Kajian rintis menunjukkan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen (r=.908). Perisian SPSS versi 23 digunakan untuk menganalisis data secara statistik deskriptif dan inferensi. Keputusan menunjukkan 50% daripada kanak-kanak mempunyai perubahan tingkah laku mudah menjadi marah atau menangis apabila gajet tidak tersedia. Sebanyak 40.1% menjadi sangat sensitif terhadap perkara kecil contohnya marah apabila ibu bapa atau adik beradik lain meminjam gajetnya. Masing masing 38% kanak-kanak mempunyai perubahan tingkah laku seperti sukar bertenang apabila dalam keadaan marah dan mencari gajet sejurus selepas bangun. Sebanyak 27.6% dan 25% daripada kanak-kanak dilihat selalu sibuk dengan gajet dan selalu tidur lewat. 45% kanak-kanak berada pada tahap mengalami perubahan tingkah laku sama ada menunjukkan ciri-ciri ketagihan dan ketagihan telefon pintar. Hasil ujian Khi Kuasa Dua menunjukkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara tempoh penggunaan telefon pintar dengan perubahan tingkah laku ( X2 (1,N = 80) = 8.887, p >.05). Implikasi kajian menyediakan ruang kepada guru dan ibu bapa berkolaborasi dalam merancang dan mengembangkan aktiviti luaran yang lebih bervariasi agar dapat mengurangkan kecenderungan penggunaan gajet yang berlebihan. Ibu bapa perlu berusaha agar dapat memastikan pilihan kandungan dan aplikasi yang digunakan sesuai dengan umur dan konteks penggunaan yang bermanfaat.