Tanggal 11 Mac 2020 lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang dikenali sebagai World Health Organization (WHO) telah mengisytiharkan wabak COVID-19 sebagai pandemik yang mencetuskan keadaan membimbangkan di seluruh dunia. Kesan pandemik ini menjejaskan keseluruhan sistem termasuk sistem pendidikan. Disebabkan penutupan institusi pendidikan, semua sistem pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara dalam talian. Malah ia turut dikenalpasti sebagai punca berlaku gangguan kesihatan mental di kalangan pelajar akibat penutupan universiti. Kajian yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk mengenal pasti punca berlaku kesihatan mental di kalangan pelajar universiti sewaktu pandemik COVID-19. Seramai 200 orang pelajar universiti terlibat dalam kajian ini. Soal selidik digunakan sebagai instrumen kajian bagi mendapatkan persepsi pelajar terhadap faktor-faktor yang menyebabkan berlaku gangguan kesihatan mental. Faktor yang dibincangkan adalah berkenaan aspek persekitaran keluarga, penggunaan teknologi sewaktu pembelajaran dan pengurusan masa pelajar. Kesimpulannya, hasil kajian ini adalah untuk melihat bagaimana persepsi pelajar universiti terhadap kesihatan mental.