Kajian ini dijalankan untuk memilih item-item yang sah, adil dan berkualiti. Instrumen terdiri daripada 81 item berskala likert yang mempunyai lima konstruk. Konstruk pertama mengukur penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. Konstruk kedua mengukur kesedaran kendiri pelajar terhadap aktiviti kokurikulum dan seterusnya konstruk yang mewakili aspek sahsiah iaitu berfikiran positif, cekap peribadi dan cergas fizikal. Pengujian instrumen telah ditadbir kepada 111 orang pelajar yang masih menuntut dalam program diploma dan sarjana muda di Universiti Kuala Lumpur. Model pengukuran Rasch digunakan untuk mendapatkan kebolehpercayaan, kesahan dan mengetahui kesesuaian item-individu. Perisian Winstep versi 3.68.2 digunakan untuk menganalisis data. Dapatan kajian menunjukkan kebolehpercayaan individu ialah 0.95 dan kebolehpercayaan item ialah 0.88. Hasil dapatan kajian mendapati 29 item dikesan misfit. Item-item tersebut boleh digugurkan atau diperbaiki supaya instrumen ini lebih adil dan dipercayai.