Perubahan arus teknologi yang pesat telah mengubah proses dan struktur pendidikan di Insitut Pengajian Tinggi (IPT) kepada pembelajaran dalam talian. Oleh yang demikian, kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti penerimaan para pelajar dari sebuah IPT di daerah Muallim, Perak terhadap pembelajaran dalam talian. Rekabentuk kajian ini adalah tinjauan dengan menggunakan pendekatan kuantitatif. Responden kajian terdiri daripada 86 orang sampel (responden) yang telah dipilih secara rawak mudah. Instrumen kajian yang digunakan adalah borang soal selidik berbentuk pautan Google Drive yang berskala likert lima pilihan dan memiliki kebolehpercayaan yang amat baik. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Sciences). Hasil dapatan dianalisis secara deskriptif dan mendapati bahawa tahap penerimaan pembelajaran dalam talian adalah sederhana. Justeru itu, penerimaan terhadap teknologi dalam talian tetap memberi impak positif kepada aktiviti pembelajaran pelajar, melahirkan pelajar yang berdaya saing sekaligus mampu meningkatkan kualiti pembelajaran pelajar setanding dengan usaha yang dilakukan.