Seiring dengan perkembangan pendidikan semasa maka peranan pentadbir dalam memantau amalan pedagogi guru adalah menjadi keutamaan bagi menentukan kualiti kerja guru dalam kemenjadian murid. Hal ini juga sejajar dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Namun perkembangan kemenjadian murid yang menjurus kepada pencapaian holistik murid seperti mana kehendak FPK memerlukan tanggungjawab pemimpin sekolah untuk memenuhi hasrat FPK sebagaimana yang dikehendaki. Lantaran itu, matlamat kajian ini adalah untuk mengenalpasti amalan PdPc guru berlandaskan pada penyeliaan guru besar mengurus program instruksional. Kajian ini melibatkan kaedah kuantitatif dengan menggunakan set soal selidik. Sebanyak 300 sampel menggunakan persampelan secara berstrata rawak mudah dari kalangan guru besar sekolah rendah luar bandar di negeri Sarawak. Pengujian data menggunakan ujian pekali korelasi spearman rho serta dianalisis menggunakan Statistical Package for the social sciences (SPSS) versi 22.0. Keputusan analisis data menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara perancangan PdPc dengan kemenjadian murid pada tahap rendah. Seterusnya terdapat hubungan yang signifikan diantara pelaksanaan PdPc dengan kemenjadian murid pada tahap sederhana. Manakala terdapat hubungan yang signifikan di antara pentaksiran PdPc dengan kemenjadian murid pada tahap sederhana. Impak kajian menjadi nilai tambah untuk mengetahui bahawa proses PdPc guru bukan hanya kepada akademik malah turut membentuk aktiviti kokurikulum. Selain daripada itu proses PdPc juga turut memupuk sahsiah diri murid. Oleh itu, keperluan meningkatkan pengetahuan guru dalam perancangan PdPc, seterusnya pelaksanaan PdPc dan akhir sekali pentaksiran PdPc seharusnya secara langsung melibatkan setiap aspek kemenjadian murid secara holistik.