Ini adalah satu kajian terhadap persepsi terhadap buku elektronik dalam kalangan murid sekolah rendah jenis Kebangsaan Cina di zon Sepang. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti pengalaman murid dalam penggunaan buku elektronik, mengenal pasti tahap minat membaca buku elektronik dalam kalangan murid, mengenal pasti pebezaan tahap minat membaca buku elektronik mengikut jantina dan mengenal pasti ciri-ciri buku elektronik yang menarik minat murid. Untuk mencapai tujuan tersebut, pengkaji telah menjalankan kajian tinjauan terhadap 130 orang murid dari sekolah rendah jenis Kebangsaan Cina di zon Sepang dengan menggunakan soal selidik yang mengandungi 20 soalan. Analisis data kajian ini menunjukkan kebanyakan murid mempunyai pengalaman menggunakan buku elektronik dan tahap minat membaca buku elektronik adalah pada tahap tinggi. Selain itu, tidak terdapat perbezaan tahap minat membaca buku elektronik yang signifikan antara lelaki dan perempuan. Dapatan kajian juga mewujudkan bahawa ciri-ciri buku elektronik yang paling menarik ialah sifat berwarna-warni, kemudahan mudah didapati melalui gajet dan fungsi di mana isi mudah difahami. Dapatan kajian ini mencadangkan bahawa bahan buku elektronik amat menarik minat murid untuk membaca dan bahan bacaan elektronik perlu disediakan untuk meningkatkan minat membaca murid.