Autisme merupakan ketidakseimbangan dalam perkembangan mental kanak-kanak yang dapat dilihat dari aspek interaksi sosial, tingkah laku dan komunikasi. Kajian yang lepas mendapati bahawa guru pendidikan khas memerlukan latihan yang mencukupi khususnya berkaitan autisme agar mereka lebih lebih berkeyakinan dan mempunyai ilmu pengetahuan untuk mengajar murid-murid yang mengalami autisme. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif melibatkan seramai 60 orang responden terdiri daripada guru pendidikan khas di daerah Muar, Johor. Instrumen kajian menggunakan borang soal selidik secara dalam talian. Dapatan kajian mendapati kesedaran guru pendidikan khas terhadap latihan berkaitan autisme adalah tinggi dengan skor min ialah 3.90. Ini menunjukkan latihan berkaitan autisme adalah penting kepada guru pendidikan khas dan dicadangkan latihan di peringkat universiti dan institusi perguruan perlu dimantapkan khususnya dalam bidang autisme.