Pendekatan Pro-poor tourism (PPT) bertujuan untuk mengatasi masalah kemiskinan melalui penglibatan dalam pelancongan. Kelebihan komuniti Orang Asli adalah melalui aset yang mereka miliki seperti alam sekitar, kraftangan, budaya dan cara hidup yang boleh dijual kepada pelancong. Melalui kajian yang dilaksanakan dalam komuniti Orang Asli Mah Meri menunjukkan bahawa pendekatan PPT telah berjaya meningkatkan ekonomi mereka melalui penglibatan dalam pelancongan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temubual dan pemerhatian. Melalui temubual bersama lima orang yang terlibat dalam aktiviti pelancongan dan pemerhatian persekitaran menunjukkan bahawa beberapa elemen penting PPT diperlukan untuk memastikan kejayaan aktiviti pelancongan melibatkan pembangunan pengetahuan dan kemahiran, pembangunan produk pelancongan, pengurusan dan pemasaran, jaringan kerjasama dan kemudahan prasarana. Ia menjadi satu petunjuk kepada kejayaan pendekatan PPT dalam kalangan komuniti orang asli yang dapat dijadikan sebagai satu penanda aras untuk merubah sosioekonomi komuniti miskin orang asli yang lain.