Pekerja yang bermotivasi akan menunjukkan sikap kepuasan bekerja dan ianya memberi impak kepada kualiti kerja yang dihasilkan. Rentetan itu, kajian ini dijalankan untuk menguji kesan Faktor Hygiene dan Faktor Motivasi terhadap kepuasan pekerja. Kajian ini turut mengkaji kesan kepuasan kerja terhadap kualiti kerja pekerja dan mengenalpasti faktor motivasi yang paling mempengaruhi kepuasan kerja. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dengan mengedar borang soal selidik kepada 183 responden terdiri daripada pekerja yang bekerja di syarikat usahawan bimbingan MADA. Kajian ini menggunakan analisis deskriptif untuk mengkaji demografi responden dan skor min. Selain itu, kesahan dan kebolehercayaan pemboleh ubah turut dilakukan dalam kajian ini. Bagi statistik inferensi, regresi linear berganda digunakan dan dianalisis dengan aplikasi SPSS versi 22 untuk mengenalpasti pengaruh dan kesan keatas pemboleh ubah. Hasil dapatan kajian menunjukkan Faktor Motivasi dan Faktor Hygiene mempengaruhi secara signifikan terhadap kepuasan pekerja. Selain itu, indikator seperti penghargaan, pencapaian, kemajuan diri, keselamatan dan keselesaan tempat kerja, hubungan interpersonal, uaph dan gaji adalah indikator yang mempengaruhi kepuasan pekerja. Manakala kajian juga menunjukkan bahawa Faktor Motivasi dan Faktor Hygiene terhadap kepuasan pekerja memberi kesan kepada kualiti kerja pekerja di organisasi usahawan bimbingan dan faktor motivasi antara faktor yang paling mempengaruhi kepuasan kerja pekerja usahawan MADA. Oleh itu, dicadangkan kepada usahawan MADA untuk mengimbangi kedua-dua faktor ini, menambahbaiki motivasi sedia ada bagi menambah kepuasan pekerja dan kualiti kerja dimasa hadapan.