Secara global, tahap penglibatan pelajar masih berada di tahap yang rendah dan perlu dipertingkatkan. Kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti tahap regulasi emosi, penglibatan pelajar dan hubungan regulasi emosi dengan dimensi-dimensi penglibatan, iaitu penglibatan tingkah laku, penglibatan emosi dan penglibatan kognitif. Konsep penglibatan pelajar penting diberi perhatian kerana ia adalah petunjuk (precursor) penting kepada hasil positif pendidikan di sekolah. Kajian dapat membantu meningkatkan perhatian pada masalah penglibatan yang di hadapi oleh pelajar-pelajar serta mencadangkan langkah-langkah yang dapat diambil untuk mengatasinya. Kajian kuantitatif ini dijalankan menggunakan pendekatan rekabentuk kajian korelasi, iaitu melihat perhubungan antara pemboleh ubah bersandar penglibatan dan pemboleh ubah bebas regulasi emosi dengan mengedarkan soal selidik untuk mengumpulkan data. Populasi kajian terdiri daripada pelajar tingkatan 6 rendah di 10 buah sekolah menengah kebangsaan yang terdapat di sekitar daerah Melaka Tengah, Melaka dan teknik persampelan rawak berkelompok telah digunakan. Emotion Regulation Questionnaire digunakan bagi mengukur regulasi emosi dan Student Engagement in School Items digunakan untuk mengukur penglibatan pelajar. Analisis statistik deskriptif dan inferensi iaitu ujian korelasi non-parametrik Spearman Rho telah digunakan. Keputusan analisis korelasi antara regulasi emosi dan penglibatan mendapati bahawa regulasi emosi mempunyai hubungan rendah dengan penglibatan afektif dan tingkahlaku tetapi mempunyai hubungan yang sederhana dengan penglibatan kognitif. Ini menunjukkan bahawa penglibatan kognitif merupakan penyumbang utama kepada tahap penglibatan pelajar yang rendah kerana sekiranya pelajar gagal meregulasikan emosi mereka secara berkesan, pelajar tidak dapat terlibat secara kognitif dengan berkesan. Maka, penglibatan yang hanya berlaku pada dimensi tingkahlaku dan emosi sahaja adalah penglibatan yang tidak lengkap kerana tingkahlaku fizikal dan emosi ini perlu diiringi dengan orientasi kognitif yang positif yang mempengaruhi perkembangan ketahanan akademik (academic resilience).