Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberikan kesan yang pelbagai terhadap masyarakat, tidak kira dalam apa jua lapangan sektor yang mereka ceburi. Arahan penguatkuasaan untuk kekal berada di rumah telah menyumbang kepada penutupan semua jenis pengoperasian begitu juga sektor pendidikan. Bagi Institusi Pengajian Tinggi yang berasaskan kemahiran, perlaksanaan PKP ini telah menimbulkan kesulitan yang tersendiri di kalangan pelajar. Hal ini sedikit sebanyak menimbulkan tekanan dalam diri mereka. Justeru, kajian ini akan mengetengahkan aspek tekanan yang dihadapi oleh pelajar Kolej Komuniti Negeri Johor dan melihat faktor tekanan yang mempengaruhi sikap pelajar ketika fasa PKP. Hal ini boleh dijadikan data awalan kepada pihak pengurusan Kolej Komuniti khususnya di peringkat Jabatan Pengajian Politeknik & Kolej Komuniti untuk menyusun pendekatan yang bersesuaian sekiranya berlaku fasa kesulitan tidak terjangka seperti pandemik Covid 19 ini, dalam memastikan kesinambungan proses pembelajaran semasa. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan edaran soal selidik yang dijana melalui perisian ‘google form’ kepada 681 orang responden, yang terdiri daripada para pelajar dari 12 buah Kolej Komuniti Negeri Johor. Analisis kajian ini menunjukkan 98.2% pelajar Kolej Komuniti Negeri Johor bersikap positif dengan penguatkuasaan PKP, atas faktor keselamatan diri. Walaubagaimanapun, perlaksanaan PKP ini juga turut memberikan tekanan pada diri mereka dari sudut pengurusan masa, akademik dan juga motivasi diri apabila penganalisisan secara Regressi telah menunjukkan elemen akademik sebagai kebimbangan dan tekanan yang paling mempengaruhi sikap pelajar ketika berhadapan fasa PKP.