Amalan Guru dalam Pengajaran Al-Insya’ di Sekolah Menengah Arab di Brunei Darussalam
List of Authors
  • Noorhaizadatul Akmar Metamit, Nur-Ashikin Petra, Shamsinar Husain

Keyword
  • amalan guru, pendekatan, kemahiran menulis al-Insya’, cabaran

Abstract
  • Artikel ini membincangkan kajian tentang amalan guru dalam pengajaran al-Insya’ (karangan) dalam bahasa Arab. Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran menulis al-Insya’ dalam kalangan pelajar di peringkat menengah, khususnya di sekolah Arab di Negara Brunei Darussalam. Dalam kajian ini, kaedah pengajaran guru termasuk cabaran-cabaran yang mereka hadapi dalam melaksanakan pengajaran al-Insya’ di dalam kelas dikaji dan dianalisis secara deskriptif. Kerangka teori pendidikan yang berasaskan Teori Ibnu Khaldun dan Teori Lev Vygotsky diaplikasikan untuk membantu dalam memahami dan menganalisis fenomena yang dikaji dengan lebih terperinci. Metodologi kajian ini menggunakan kaedah kualitatif di mana temubual berstruktur digunakan untuk mengumpul data dari empat orang guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Arab. Data dianalisis menggunakan kaedah tematik untuk mengenal pasti, menjelaskan dan melaporkan tema-tema yang terdapat dalam data. Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa kesemua peserta kajian (guru-guru Bahasa Arab) menggunakan dan mengamalkan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berpusatkan kepada pelajar seperti kaedah sumbang saran (brainstorming), pengajaran secara berperingkat (scaffolding method) dan bercerita (storytelling). Namun, dari segi pelaksanaan pengajaran, terdapat beberapa aspek mengenai bagaimana guru-guru melaksanakan kaedah-kaedah berkenaan, ada yang kurang jelas dinyatakan, belum cukup berkesan dan memerlukan penambahbaikan serta kebijaksanaan mereka dalam menyusun dan mengendalikan pengajaran dengan lebih berstruktur dan bersistematik. Pengajaran dan pembelajaran secara berperingkat-peringkat, daripada mudah kepada yang lebih kompleks serta lebih teratur seperti yang disarankan oleh kedua-dua teori kajian ini, boleh membantu guru-guru Bahasa Arab meningkatkan lagi kefahaman pelajar dalam menguasai kemahiran menulis al-Insya’ dengan lebih berkesan. Selain itu, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa terdapat beberapa cabaran utama yang dihadapi oleh guru dalam pengajaran ini, termasuklah kurangnya kefahaman pelajar terhadap bahasa Arab, silabus mata pelajaran Bahasa Arab yang terlalu banyak, serta kurangnya keyakinan diri pelajar dalam al-Insya’.

Reference
  • No Data Recorded