Keberkesanan Penggunaan Aplikasi “Belajar Mengeja Jawi” terhadap Peningkatan Skor Formatif dalam kalangan Murid Tahun Dua
List of Authors
Intan Farahana Kamsin, Nur Aliyah Ismail
Keyword
literasi Jawi, teknologi pendidikan, pendidikan Islam, inovasi pembelajaran digital, murid sekolah rendah
Abstract
Kajian ini mengkaji keberkesanan penggunaan aplikasi “Belajar Mengeja Jawi” terhadap peningkatan skor formatif dan penguasaan kemahiran ejaan dalam kalangan murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Petra Jaya, Kuching, Sarawak. Objektif utama kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan aplikasi dalam meningkatkan prestasi pembelajaran tulisan Jawi, mengenal pasti tahap penerimaan murid terhadap penggunaan aplikasi digital, serta menilai persepsi mereka terhadap manfaat teknologi dalam pembelajaran Pendidikan Islam. Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen pra dan pasca ujian melibatkan 50 orang murid yang mengikuti intervensi selama empat minggu. Data dikumpul melalui ujian prestasi pra dan pasca ujian serta soal selidik penerimaan murid, dan dianalisis menggunakan analisis deskriptif dan ujian Wilcoxon Signed-Rank. Hasil kajian menunjukkan peningkatan skor yang signifikan antara pra dan pasca ujian (Z = –6.300, p < .001) serta tahap penerimaan murid yang tinggi terhadap penggunaan aplikasi (min keseluruhan = 3.76). Dapatan ini membuktikan bahawa penggunaan aplikasi “Belajar Mengeja Jawi” bukan sahaja membantu meningkatkan penguasaan ejaan Jawi, malah turut memperkukuh minat, motivasi dan penglibatan murid dalam pembelajaran Islam secara interaktif. Kajian ini mencadangkan agar penggunaan aplikasi digital seperti ini diperluaskan dalam konteks pembelajaran Pendidikan Islam bagi memperkukuh literasi Jawi dan menyokong transformasi pedagogi digital yang berteraskan nilai Islam di sekolah rendah.