Masalah kewangan, keluarga, pengangkutan dan sokongan daripada komuniti sering menjadi halangan untuk golongan wanita sebagai Ketua Isi Rumah (KIR) keluar daripada belenggu kemiskinan. Namun begitu terdapat satu golongan Ketua Isi Rumah (KIR) wanita Orang Asli yang dapat menonjolkan kejayaan mereka melalui aktiviti keusahawanan yang mereka ceburi. Tujuan kajian ini adalah untuk meneroka atribut dalaman yang mempengaruhi kejayaan Ketua Isi Rumah (KIR) wanita orang asli dalam bidang keusahawanan. Kajian dilaksanakan menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah temubual, pemerhatian dan pengumpulan dokumen. Melalui kajian yang dilaksanakan dalam kalangan komuniti Mah Meri dan Semai menunjukkan bahawa perubahan minda, sikap dan tingkah laku menjadi atribut individu yang mempengaruhi kejayaan mereka dalam bidang keusahawanan. Produk anyaman dan persembahan kebudayaan mereka mendapat sambutan dalam kalangan pelancong dari dalam dan luar negara. Mereka menjadi simbol kejayaan golongan wanita bagi masyarakat Orang Asli. Hasil kajian menjadi satu penanda aras yang dapat menjadi rujukan kepada perancangan pembangunan keupayaan golongan wanita Orang Asli.