Anjakan paradigma dan pengubahsuaian pada aktiviti pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk membina dan meningkatkan pencapaian pelajar dengan memberi penekanan kepada proses kognitif dalam isi pelajaran dan pengetahuan. Pembelajaran koperatif merupakan satu strategi pengajaran yang dilihat mampu memenuhi hasrat tersebut. Kajian ini dijalankan untuk meninjau dan mengenal pasti keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara koperatif di dalam bilik darjah ke atas domain kognitif, afektif dan psikomotor dalam kalangan siswa guru di Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis. Pemilihan responden kajian terdiri daripada 102 pelajar Tahun 1, Semester 2, major Bahasa Melayu yang dijalankan secara persampelan rawak mudah. Kajian yang menggunakan kaedah kuantitatif ini menggunakan instrumen kajian yang diadaptasi dan diubah suai daripada soal selidik yang ditadbir oleh Norul Haida (2012). Seterusnya, data ini dikumpul dan diproses menggunakan perisian SPSS (Statistical Package For Social Sciences) versi 20. Hasil dapatan menunjukkan min tertinggi bagi domain kognitif ialah sebanyak 3.7549 dengan sisihan piawai sebanyak 0.45460 dicatat oleh penyataan bahawa perkongsian maklumat semasa aktiviti berkumpulan meningkatkan pencapahan idea siswa guru. Manakala bagi aspek afektif, pembelajaran koperatif membantu siswa guru belajar untuk saling menghormati dan penerimaan pendapat rakan-rakan dengan min tertinggi 3.6961 dan sisisahan piawai sebanyak 0.46222. Selain itu, pembelajaran koperatif turut melatih siswa guru untuk bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain, penyataan ini mencatat min tertinggi sebanyak 3.6961 dan sisihan piawai 0.46222. Pada keseluruhannya, kajian ini diharap membantu pensyarah bagi mendapatkan persepsi dan keberkesanan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran secara koperatif di dalam bilik darjah ke atas domain kognitif, afektif dan psikomotor dalam kalangan siswa guru Bahasa Melayu. Cadangan lanjutan turut dikemukakan, antaranya adalah pemilihan responden kajian tidak dihadkan kepada pelajar IPG Kampus Perlis sahaja, malah boleh diperluas kepada siswa guru dari kampus yang lain. Pada masa yang sama, bagi mendalamkan lagi prospek kajian pembelajaran koperatif, kajian selanjutnya boleh dijalankan dengan meneliti perbezaan keberkesanan pembelajaran koperatif dalam kalangan responden berbeza opsyen mata pelajaran.