Situasi pandemik COVID-19, menjadi cabaran utama bagi kebanyakan institusi pendidikan termasuk Kolej Komuniti dalam melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian (PdPDT) secara atas talian. Faktor kejayaan pelaksanaan PdPDT bergantung kepada pemahaman faktor-faktor pendorong dan juga halangan utama yang dihadapi semasa sistem pembelajaran dilaksanakan. Oleh itu satu kajian dijalankan bagi menilai sikap, motivasi dan halangan-halangan dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Talian (PdPDT) bagi pelajar Kolej Komuniti Jelebu (KKJU) dan Kolej Komuniti Hulu Langat (KKHL) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Seramai 176 orang responden yang sedang mengikuti pengajian di KKJU dan KKHL telah menjawab sebagai responden. Data diperolehi melalui soal selidik bagi analisis deskriptif untuk menjawab persoalan-persoalan kajian. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap sikap dan motivasi pelajar berada pada tahap sederhana dengan nilai min keseluruhan 2.51. Dari segi halangan didapati keseluruhan halangan adalah berada pada tahap rendah dengan min antara 1.77 (rendah) hingga 2.88 (sederhana) di mana halangan personaliti dan halangan organisasi berada pada tahap rendah sementara halangan gaya pembelajaran, arahan, teknologi dan situasi adalah pada tahap sederhana. Didapati tiada hubungan diantara halangan-halangan dengan demografi kecuali dua faktor iaitu pendapatan ibu bapa dan keyakinan mengenai PdPDT. Mempelbagaikan kaedah dan bahan pengajaran oleh pensyarah akan dapat menambahkan minat dan motivasi pelajar semasa PdPDT supaya pembelajaran lebih berkesan. Kebajikan pelajar perlulah dijaga dengan menyediakan khidmat sokongan seperti kaunselor atau pembimbing sekiranya menghadapi kesulitan yang melibatkan pembelajaran dalam talian atau perkara yang berkaitan dengan pengajian.