UMNO merupakan sebuah parti politik terbesar di negara ini. Namun setelah mengalami kekalahan di dalam PRU Ke-14 disebabkan kehilangan undi dan kepercayaan generasi belia pada hari ini, UMNO kelihatan mula mengorak langkah dalam melaksanakan perkaderan politik ke atas belia di negara ini. Oleh itu, kajian ini membincangkan isu perkaderan politik yang telah dan akan diambil oleh UMNO demi survival politik parti tersebut khasnya dalam mendepani PRU Ke-15. Kajian ini dijalankan menerusi kaedah kualitatif melalui sesi temu bual ke atas beberapa orang informan yang mewakili individu yang terlibat secara langsung dalam perkaderan politik UMNO seperti Kelab UMNO Siswa, Skuad Sabil dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM). Hasil kajian mendapati antara sebab pendorong ke atas sokongan dan kecenderungan belia untuk bersama dengan UMNO adalah kerana mereka merasakan UMNO merupakan sebuah parti yang konstruktif dan berdiplomasi dalam menyelesaikan apa jua isu pentadbiran yang berbangkit. Terdapat juga anak muda yang menolak UMNO secara total dan radikal pada era pasca PRU Ke-14 namun wujud jua golongan belia yang menyokong dan mendukung penuh aspirasi perjuangan UMNO. Kesimpulannya, menerusi kajian ini dapat dilihat bahawa masih ada lagi anak muda pada hari ini yang setia bersama UMNO dengan bersandarkan kepada corak kepimpinan UMNO itu sendiri.