Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham (MKLFN) ialah satu model berfasa dan sesuai digunakan untuk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) abad ke-21. PdPc MKLFN ini lebih kepada proses pembelajaran yang berpusatkan pelajar iaitu aktiviti yang dilakukan adalah dalam kumpulan. Pelajar melibatkan diri secara aktif untuk membina pengetahuan baru berdasarkan pengetahuan sedia ada. Walau bagaimanapun, MKLFN ini masih kurang diaplikasikan dalam PdPc pada masa sekarang. Oleh itu, kajian literatur sistematik ini bertujuan untuk melihat penggunaan MKLFN dalam PdPc. Sebanyak 10 artikel yang berkaitan dengan MKLFN telah dipilih. Hasil kajian ini menjelaskan bahawa MKLFN sesuai digunakan dalam PdPc untuk meningkatkan pencapaian, minat dan membangunkan perisian baru dalam semua bidang.