Impak Penggunaan Emoji dan Simbol Digital terhadap Komunikasi Bertulis dalam Bahasa Melayu
List of Authors
Ezzah ‘Afifah Nasrudin, Megat Abdul Karim @ Rosmady Megat Hussain, Norizan Mohd Razali
Keyword
emoji, komunikasi digital, bahasa Melayu, media sosial, analisis kandungan
Abstract
Kajian ini mengkaji impak penggunaan emoji dan simbol digital terhadap komunikasi bertulis dalam bahasa Melayu. Objektif kajian ini adalah untuk menganalisis corak penggunaan emoji dalam komunikasi digital bahasa Melayu, mengenal pasti fungsi emoji dalam komunikasi digital, dan mengkaji kesan penggunaan emoji terhadap kemahiran berbahasa Melayu. Kajian ini menggunakan pendekatan kaedah campuran yang melibatkan analisis kandungan terhadap 300 komen di Facebook, soal selidik yang diedarkan melalui platform Google Forms kepada 300 responden, dan temu bual mendalam dengan 12 responden belia yang berusia antara 18 hingga 35 tahun. Hasil kajian menunjukkan bahawa 45% responden menggunakan emoji secara aktif dalam komunikasi harian (min=3.14), manakala 43% responden menggunakannya untuk mengelakkan salah faham (min=3.08). Analisis kualitatif mendapati emoji berfungsi sebagai penanda konteks dan pemudah komunikasi digital. Walau bagaimanapun, terdapat kebimbangan terhadap kebergantungan berlebihan yang boleh menjejaskan kemahiran berbahasa formal. Meskipun 50% responden tidak bersetuju bahawa emoji mengurangkan penguasaan tatabahasa (min=2.73), data temu bual mendedahkan jurang yang ketara antara persepsi dan realiti penggunaan emoji dalam konteks formal. Kajian ini mencadangkan keperluan terhadap pembangunan garis panduan yang komprehensif dalam penggunaan emoji, di samping memelihara keutuhan bahasa Melayu dalam era digital.