Ragam Bahasa Guru Bukan Melayu Dalam Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Melalui Youtube
List of Authors
  • Nor Azwahanum Nor Shaid, Sujariati Julis

Keyword
  • Ragam Bahasa; Guru Bukan Melayu; Pelajar Bukan Penutur Jati; Pengajaran Bahasa Melayu Secara Digital; YouTube

Abstract
  • Kajian ini meneliti penggunaan ragam bahasa oleh guru bukan Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu melalui platform YouTube kepada pelajar bukan penutur jati. Permasalahan utama kajian ini ialah kekurangan penyelidikan yang menganalisis bahasa guru sebagai fenomena linguistik secara sistematik dalam konteks PdP digital, khususnya dengan menggunakan kerangka ragam bahasa Za’ba. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti jenis-jenis ragam bahasa yang digunakan oleh guru bukan Melayu serta meneroka faktor-faktor yang mempengaruhi penggunaannya dalam PdP Bahasa Melayu melalui YouTube. Kajian ini menggunakan reka bentuk kualitatif dengan kaedah analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Data diperoleh daripada 20 buah video pengajaran Bahasa Melayu yang dianalisis secara transkripsi verbatim serta satu sesi temu bual bersama guru yang terlibat. Data dianalisis menggunakan analisis tematik berpandukan teori ragam bahasa Za’ba. Dapatan kajian menunjukkan bahawa guru bukan Melayu menggunakan pelbagai ragam bahasa seperti bahasa berulang, pertanyaan ingkar, bahasa seruan, bahasa bukan, bahasa besar atau melampau, bahasa kecil, bahasa naik, bahasa turun dan bahasa jenaka secara konsisten sebagai strategi linguistik. Ragam bahasa ini berfungsi untuk menegaskan makna, menarik perhatian, membina kefahaman serta mengekalkan penglibatan pelajar dalam persekitaran PdP digital yang bersifat sehala. Selain itu, penggunaan ragam bahasa dipengaruhi oleh tahap penguasaan bahasa pelajar, sifat PdP melalui video, latar belakang guru sebagai bukan penutur jati, keperluan pedagogi serta pengaruh persekitaran media digital. Kajian ini menyumbang kepada bidang linguistik terapan dengan memperluas aplikasi teori ragam bahasa Za’ba dalam konteks wacana pedagogi digital. Dari sudut praktikal, dapatan kajian dapat membantu guru merancang penggunaan bahasa secara lebih sedar dan strategik dalam pengajaran melalui video.

Reference
  • No References Recorded