Kemasukan pelajar ke Kolej Komuniti memerlukan pihak kolej menyediakan keperluan yang mesra OKU untuk memudahkan mereka mengikuti pembelajaran mereka. Objektif kajian ini ialah mengetahui sokongan yang disediakan di kolej komuniti kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan mengenalpasti kemudahan prasarana fizikal yang di sediakan kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di dua buah kolej komuniti. Kajian ini dijalanlan secara kualitatif dengan menggunakan kaedah kajian kes sebagai reka bentuk kajian. Data dikumpul adalah melalui teknik temu bual tidak berstruktur dan menggunakan kaedah tematik untuk menganalisis dapatan kajian. Responden adalah terdiri daripada empat orang pensyarah kolej Komuniti dan dua orang pelajar OKU di kedua-dua Kolej Komuniti tersebut. Soalan temu bual diadaptasi daripada kajian oleh Hasnah et al. (2009). Dapatan kajian menunjukkan kolej komuniti memberi sokongan kepada pelajar OKU di kolej mereka dari segi penerimaan rakan, penerimaan pensyarah dan penerimaan staf sokongan. Dapatan kajian prasarana di kolej komuniti menunjukkan terdapat semua kemudahan prasarana di kolej komuniti A, Selangor namun tidak terdapat prasarana di kolej komuniti B, Pahang, contohnya tandas mesra OKU, lift, bilik kuliah, tempat letak kenderaan OKU. Oleh itu, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memastikan kemudahan-kemudahan asas untuk golongan OKU di semua kolej Komuniti disediakan sewajarnya agar membantu pelajar menjalani sesi pembelajaran dengan lebih fleksible. Maklumat yang diperoleh dari kajian ini juga dapat meningkatkan kemudahan sedia ada pada masa hadapan dengan harapan kemudahan tersebut dapat diekses untuk membantu mereka untuk hidup lebih berdikari.