Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk mengukur hubungan antara tahap motivasi dan penglibatan murid sekolah rendah dalam proses pembelajaran atas talian semasa Pandemik COVID 19. Kajian ini melibatkan seramai 80 orang responden yang terdiri daripada murid tahun enam dari lima buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Seberang Perai Selatan, Pinang. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian tinjauan dengan kaedah kuantitatif. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian adalah berbentuk soal selidik yang mengandugi tiga bahagian. Antaranya adalada Bahagian A yang memperihalkan tentang demografi responden seperti jantina dan latarbelakang sosioekonomi responden. Bahagian B pula merangkumi item yang berkaitan dengan tahap motivasi manakala Bahagian C memerihalkan tentang tahap penglibatan murid dalam proses pembelajaran atas talian semasa Pandemik COVID 19. Data yang diperoleh dalam kajian ini dianalisis menggunakan deskriptif dan inferensi yang terdiri daripada nilai peratus, min, ANOVA dan korelasi Spearman Rho. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan dengan nilai korelasi r = 0.876 (p < 0.005) antara motivasi dan penglibatan murid sekolah rendah dalam proses pembelajaran atas talian semasa Pandemik COVID 19. Sebanyak empat hipotesis telah diuji dalam kajian ini dimana keempat-empat hipotesis telah diterima. Kajian lanjutan yang dicadangakan dalam kajian ini adalah mengenal pasti persepsi guru terhadap tahap motivasi dan penglibatan murid dalam proses pembelajaran atas talian.