Individu yang menghadapi masalah kesihatan mental terus meningkat saban tahun dengan 11% rakyat Malaysia mengalami masalah mental serta kemurungan yang serius telah direkodkan sehingga tahun 2010. Oleh itu, kajian berkenaan kesejahteraan psikologi dalam kalangan guru telah dijalankan untuk mengenal pasti hubungan antara efikasi kendiri guru dengan kesejahteraan psikologi. Kajian ini diharap dapat memberikan gambaran yang lebih jelas berikutan dapatan kajian-kajian lepas menunjukkan tahap kesejahteraan psikologi dalam kalangan guru di negara ini adalah masih sedikit dan tidak konsisten. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif yang melibatkan 75 orang responden yang merupakan guru yang berkhidmat di sebuah sekolah kategori Maahad Kawalan di Negeri Kelantan. Item Teacher Sense of Efficacy Scale (TSES) dan item Ryff’s Psychological Well-Being Scale (PWB) yang mempunyai kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi telah digunakan. Analisis deskriptif seperti min dan sisihan piawai, ujian ANOVA sehala dan analisis korelasi telah digunakan. Dapatan kajian ini menunjukkan guru-guru mempunyai tahap efikasi kendiri dan kesejahteraan psikologi yang tinggi. Selain itu, kajian ini juga turut menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara tahap kesejahteraan psikologi guru [F(2,72)=3.20,p=.046] berdasarkan tahap pendidikan. Dapatan turut menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan positif yang lemah antara efikasi kendiri guru dengan tahap kesejahteraan psikologi. Kajian ini dapat dijadikan sebagai panduan kepada pihak bertanggungjawab untuk merangka program intervensi supaya mengekalkan tahap efikasi kendiri yang tinggi sekali gus mengekalkan tahap kesejahteraan psikologi dalam usaha mengurangkan risiko masalah kesihatan mental dalam kalangan guru.