Dewasa ini, pembelajaran sepanjang hayat dilihat mampu membangunkan potensi, membantu individu untuk menguasai ilmu, meningkatkan nilai murni dalam diri serta memperluas pengalaman hidup. Masalah mula timbul apabila terdapat peningkatan isu di mana pelajar pascasiswazah tidak berjaya untuk menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang telah ditetapkan serta memilih untuk menamatkan pengajian di pertengahan jalan. Antara faktor yang terlibat adalah personaliti serta gaya pembelajaran yang diamalkan. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti jenis personaliti dan gaya pembelajaran yang memiliki peratusan tertinggi mengikut jantina dalam kalangan pelajar pascasiswazah Universiti Awam di sekitar Lembah Klang. Lima elemen personaliti diri ialah keterbukaan, kehemahan, ekstraversi, persetujuan dan neurotik manakala gaya pemebelajaran pula terdiri daripada gaya pembelajaran berdikari, mengelak, kolaborasi, bergantung, bersaing dan turut serta. Seterusnya, kajian juga ingin mengenal pasti hubungan antara personaliti dan gaya pembelajaran dalam kalangan pelajar pascasiswazah tersebut. Reka bentuk kajian adalah kuantitatif yang menggunakan kaedah kolerasi. Soal selidik digunakan untuk menguji 408 orang sampel yang melibatkan subskala Big Five Personality Trait dan Grasha-Riechmann Student Learning Style Scale. Jenis persampelan adalah persampelan rawak mudah. Hasil dapatan mendapati jenis personaliti yang memiliki peratusan tertinggi dalam kalangan pelajar lelaki dan perempuan adalah sama iaitu mereka cenderung berpersonaliti persetujuan. Gaya pembelajaran yang memiliki peratusan tertinggi bagi pelajar lelaki pula adalah berdikari dan kolaborasi manakala pelajar perempuan cenderung mengamalkan gaya pembelajaran kolaborasi. Dapatan terakhir adalah tidak terdapat hubungan yang signifikan antara personaliti persetujuan dan gaya pembelajaran berdikari berdasarkan nilai Sig - .002 (p > 0.001). Manakala untuk personaliti persetujuan dan gaya pembelajaran kolaborasi terdapat hubungan yang signifikan antara keduanya berdasarkan nilai Sig = .000 (p < 0.001). Kesimpulannya, meskipun pelajar lelaki cenderung memiliki personaliti yang suka menentang dan kurang sifat toleransi, namun kajian ini mendapati mereka memiliki jenis personaliti persetujuan yang tinggi. Begitu juga dengan pelajar perempuan yang sering dikaitkan dengan masalah emosi dan mempunyai tingkah laku yang sukar diramal, namun kajian menunjukkan sebaliknya.