Kajian ini bertujuan untuk meneroka amalan kaedah pengajaran terbeza dalam kalangan guru Bahasa Melayu tahun 1 terhadap PdP kemahiran menulis ayat. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah kualitatif agar pengkaji dapat memahami lebih mendalam tentang proses dan bentuk-bentuk sesuatu amalan. Kajian ini dijalankan di Zon Barat Sabah yang terdiri daripada daerah Kota Kinabalu dan Penampang. Bagi menjawab persoalan kajian, pengkaji menggunakan persampelan bertujuan dalam memilih peserta kajian yang terdiri daripada tiga orang guru Bahasa Melayu tahun 1. Data dikumpul menggunakan instrumen temu bual separa berstruktur dan analisis dokumen. Pengkaji menggunakan analisis deskriptif iaitu hasil perbualan dinilai dari aspek kehendak objektif kajian yang dilaksanakan. Dapatan kajian menunjukkan guru Bahasa Melayu tahun 1 dapat mengimplimentasikan kaedah pengajaran terbeza dalam amalan pengajaran bagi kemahiran menulis ayat. Data temu bual turut memperlihatkan bahawa motivasi murid dari pelbagai tahap pembelajaran adalah memberangsangkan dalam PdP kemahiran menulis ayat berorientasikan kaedah pengajaran terbeza oleh guru.