Meneroka Konsep Sekolah Mesra Kanak-Kanak dalam Proses Penyediaan Pendidikan Formal kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas di Malaysia
List of Authors
Mohd Syazwan Zainal, Nur Fatini Alias
Keyword
murid berkeperluan pendidikan khas, sekolah mesra kanak-kanak, pendidikan inklusif, pengalaman ibu bapa, pendidikan rendah
Abstract
Pendidikan formal bagi Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) merupakan satu proses yang kompleks dan memerlukan pendekatan inklusif serta mesra kanak-kanak. Walaupun konsep Pendidikan Inklusif dan Sekolah Mesra Kanak-Kanak (Child-Friendly Schools, CFS) semakin ditekankan dalam dasar pendidikan, pelaksanaannya di peringkat sekolah masih berhadapan pelbagai cabaran, khususnya dalam memenuhi keperluan holistik MBPK. Selain itu, pengalaman ibu bapa sebagai pihak yang terlibat secara langsung dalam pendidikan formal anak MBPK masih kurang diterokai secara mendalam. Oleh itu, kajian ini bertujuan meneroka pengalaman ibu bapa dalam menyediakan pendidikan formal kepada MBPK. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk fenomenologi interpretif. Seramai lima orang ibu bapa yang mempunyai anak MBPK Tahun 1 di sekolah rendah di daerah Pasir Gudang, Johor dipilih secara pensampelan bertujuan. Data dikumpul melalui temu bual mendalam separa berstruktur dan dianalisis menggunakan Analisis Tematik berdasarkan kerangka Braun dan Clarke. Tiga tema utama dikenal pasti, iaitu (1) Persekitaran Inklusif dan Menyokong, (2) Keseimbangan Akademik dan Sosial, dan (3) Halangan serta Transisi dalam Pendidikan Harian. Pengalaman ibu bapa dipengaruhi oleh persekitaran fizikal sekolah, sokongan emosi guru, pengurusan sensori dan penerimaan sosial. Kejayaan pendidikan dinilai melalui perkembangan sosial, emosi dan kefungsian anak, bukan semata-mata pencapaian akademik. Penyediaan pendidikan formal MBPK memerlukan pendekatan holistik selari dengan prinsip Sekolah Mesra Kanak-Kanak, melibatkan persekitaran pembelajaran yang responsif, pedagogi fleksibel dan kerjasama berterusan antara sekolah dan ibu bapa.