Kajian ini dilaksanakan bertujuan meneroka keberkesanan Modul Latihan Intervensi Berfokus dan Terbeza (MoLIB) dalam membantu pengajaran guru Bahasa Melayu meningkatkan kemahiran berbahasa murid khususnya murid Tahap 1 di sekolah rendah. Reka bentuk kajian kualitatif secara tinjauan telah dilaksanakan dalam kajian ini. Dua buah sekolah rendah telah dipilih sebagai tempat kajian. Dua orang guru dipilih secara persampelan bertujuan bagi memenuhi skop kajian. Protokol temu bual secara berstruktur telah digunakan sebagai instrumen dalam kajian ini. Data dianalisis secara kualitatif iaitu melalui proses transkripsi, reduksi dan paparan data. Dapatan kajian menunjukkan MoLIB membantu kemahiran pedagogi pengajaran guru Bahasa Melayu meningkatkan kemahiran berbahasa murid. Beberapa cadangan kajian telah digariskan bagi meningkatkan kualiti MoLIB di samping usaha menyebarluaskan penggunaan MoLIB khususnya dalam pengajaran Bahasa Melayu terhadap guru-guru sekolah rendah.