Kajian Rintis Peranan Ajaran Islam Dan Sokongan Pengurusan Sebagai Pemangkin Komitmen Kerja Staf Bukan Akademik Di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia(UPNM)
List of Authors
Daud Muhammad Salleh, Mohd Zuraidi Mohd Zainol, Wan Su Emi Yusnita Wan Yusof
Keyword
Pengaruh Ajaran Islam, Akidah, Ibadah, Akhlak, Sokongan Pengurusan, Komitmen Kerja
Abstract
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan antara penghayatan ajaran agama Islam dalam kehidupan dan sokongan pengurusan terhadap komitmen kerja dalam kalangan staf bukan akademik di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Bagi memastikan kebolehpercayaan instrumen yang digunakan, satu kajian rintis telah dilaksanakan terlebih dahulu. Instrumen kajian berbentuk soal selidik yang merangkumi empat bahagian utama. Bahagian A memfokuskan kepada maklumat demografi responden; Bahagian B menilai penghayatan terhadap ajaran Islam yang merangkumi tiga komponen utama iaitu akidah, ibadah dan akhlak; Bahagian C menilai tahap sokongan pengurusan; manakala Bahagian D mengukur tahap komitmen kerja responden. Data yang diperoleh telah dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS) versi 26.0 dengan menggunakan analisis deskriptif, ujian korelasi Pearson dan regresi mudah. Hasil analisis menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara penghayatan ajaran Islam dan komitmen kerja staf bukan akademik. Selain itu, dapatan turut menunjukkan bahawa sokongan pengurusan memainkan peranan sebagai pemboleh ubah mencelah (mediator) yang memperkukuh hubungan antara ajaran Islam dan komitmen kerja. Kajian ini memberikan implikasi penting terhadap usaha memperkukuh nilai-nilai keagamaan dan peranan pengurusan dalam meningkatkan komitmen kerja warga bukan akademik di institusi pengajian tinggi. Beberapa batasan kajian turut dikenal pasti dan cadangan untuk penyelidikan masa hadapan turut dikemukakan.