Konsep qardan hasanan, aslama dan din merupakan satu konsep yang menjelaskan tentang matlamat kehidupan dan pengertian mengapa manusia dan jin dijadikan Allah SWT. Konsep ini terkandung dalam prinsip kedua model teater fitrah. Model teater fitrah merupakan satu kerangka dalam menentukan fitrah sesebuah karya dalam genre drama dan teater. Dalam hal ini, model teater fitrah merupakan acuan daripada prinsip teater fitrah yang dikemukakan Noordin Hassan dalam teater fitrah. Model teater fitrah menyalurkan prinsip serta konsep pementasan yang jitu berasaskan agama Islam (Noordin Hassan, 1983). Oleh yang demikian, makalah ini akan mengaplikasikan model teater fitrah terhadap drama ‘Intan yang Tercanai’ tulisan Noordin Hassan. Berdasarkan kajian lepas, kecenderungan kajian mengenai drama ‘Intan yang Tercanai’ adalah penilaian berdasarkan teori-teori bukan dari kerangka Islam. Kajian ini merupakan kajian analisis teks dan akan menganalisis skrip drama ‘Intan yang Tercanai’ tanpa menyentuh aspek pementasan. Hasil kajian mendapati drama ‘Intan yang Tercanai’ merupakan teks yang mengaplikasikan konsep qardan hasanan, aslama dan din.