Cabaran yang Dihadapi oleh Pengusaha Taska Ketika Perintah Kawalan Pergerakan
List of Authors
  • Khairunnisak Kamarozaman

Keyword
  • No Data Recorded

Abstract
  • Kajian ini meneroka cabaran yang dihadapi oleh pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) dalam mengutip bayaran yuran bulanan daripada ibu bapa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak penyakit berjangkit Coronavirus Disease 2019 (COVID-19). COVID-19 merupakan penyakit yang disebabkan oleh virus yang berasal dari Wuhan, China di mana ianya menyerang sistem pernafasan manusia. Virus ini tersebar secara meluas ke seluruh dunia dengan kadar yang sangat cepat dan diisytiharkan pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020. Bagi membendung penularan wabak COVID-19 di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967. Semua aktiviti di dalam negara dilarang untuk beroperasi termasuk perkhidmatan taska. Penutupan taska mengikut arahan Perintah Kawalan Pergerakan telah menyebabkan perkhidmatan taska terjejas kerana tidak lagi dapat menawarkan perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan. Justeru, kajian ini dijalankan bertujuan untuk meneroka masalah pengusaha taska dalam menghadapi masalah bayaran yuran bulanan oleh ibu bapa ketika Perintah Kawalan Pergerakan. Seramai tiga orang pengusaha taska institusi yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Malaysia, telah ditemu bual untuk mengetahui situasi yang sedang berlaku. Kajian ini dijalankan menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian fenomenologi dan menggunakan teknik persampelan bertujuan. Hasil dapatan kajian mendapati, masalah bayaran yuran kepada pengusaha taska berlaku disebabkan ibu bapa berpendapat tidak relevan dan tidak adil untuk pengusaha mengutip bayaran yuran bulanan taska kerana taska tidak menyediakan perkhidmatan ketika PKP. Di samping itu, ibu bapa turut mengelak untuk membuat bayaran yuran bulanan kerana pendapatan mereka terjejas ketika kawalan pergerakan. Selain itu, terdapat ibu bapa yang masih perlu bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan dan terpaksa menghantar kanak-kanak kepada pengasuh persendirian dengan upah. Dalam pada itu, ada ibu bapa yang bertindak menghentikan kanak-kanak daripada perkhidmatan taska untuk mengelak bayaran yuran kerana wang yang ada perlu digunakan untuk perkara yang lebih utama. Kesimpulannya, sememangnya berlaku masalah dalam kutipan bayaran yuran bulanan yang mana memberi impak kepada kewangan taska. Hasil kajian ini diharap dapat memberi penjelasan dan gambaran yang jelas di masa akan datang kepada ibu bapa mengenai cabaran yang dihadapi oleh pengusaha taska untuk terus mengoperasikan dan mengusahakan taska mereka.


Reference
  • No Data Recorded