Strategi Penggunaan Kamus Bahasa Arab Dalam Kalangan Pelajar Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Selangor
List of Authors
Hakimi Abd Halim, Harun Baharudin
Keyword
Bahasa Kedua, Bahasa Asing, Strategi Penggunaan Kamus, Bahasa Arab, Pra-Universiti
Abstract
Penggunaan kamus yang berkesan dalam pembelajaran Bahasa Arab dapat meningkatkan kemahiran berbahasa terutamanya dalam memperolehi dan memahami makna perkataan. Ramai pelajar bahasa kedua tidak memanfaatkan kamus sepenuhnya kerana kurangnya pendedahan tentang cara penggunaan kamus dengan berkesan. Kamus hanya difahami untuk kegunaan terjemahan perkataan sahaja. Pada hal kamus merupakan sebuah medium yang memberikan manfaat yang banyak dalam menguasai bahasa asing. Kajian ini bertujuan untuk melihat strategi penggunaan kamus yang sering digunakan dalam kalangan pelajar. Seramai 163 pelajar asasi Pusat Matrikulasi Universiti Islam Selangor yang mengambil kursus Asasi Pengajian Islam dan Asasi Bahasa Arab dipilih sebagai sampel kajian. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan menggunakan set soal selidik yang telah diadaptasi dari dua inventori iaitu S.I.D.U Strategy Inventory for Dictonary Use dan S.I.E.D.U Strategy Inventory for Electronic Dictonary Use. Hasil kajian mendapati strategi penggunaan kamus berada pada tahap sederhana (min = 3.60; sp= 0.52). Strategi pemilihan kamus merupakan strategi utama (min=3.97; sp= 0.67) yang kerap digunakan oleh pelajar. Namun pelajar mencatatkan skor terendah (min=3.24; sp= .75) bagi strategi lemmatization dimana strategi ini amat penting dalam penguasaan Bahasa Arab. Dapatan ini juga menunjukkan bahawa pelajar perlu diberi latihan kemahiran penggunaan kamus yang berkesan terutamanya dalam mempelajari Bahasa Arab sebagai bahasa asing.