Peranan Modal Psikologi dalam Memperkukuh Kesejahteraan Mental Generasi Muda
List of Authors
  • Chong Sheau Tsuey, Mastura Mohamad, Nur Syuhada Mokhzan, Suzana Mohd Hoesni, Vellapandian Ponnusamy

Keyword
  • Kesihatan mental, Modal psikologi, Generasi muda & Intervensi

Abstract
  • Statistik terkini menunjukkan peningkatan ketara dalam prevalen masalah kesihatan mental dalam kalangan generasi muda. Berdasarkan kajian kepustakaan daripada kajian tempatan mendapati bahawa 13.3 % generasi muda yang berumur 19-24 tahun mempunyai kadar stres yang tinggi di Malaysia. Keadaan ini menekankan keperluan mendesak untuk sokongan holistik yang melibatkan bukan sahaja sokongan luaran, tetapi juga pengukuhan kekuatan dalaman bagi membantu generasi muda menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks.Oleh itu kajian ini dilaksanakan bagi menilai hubungan antara dimensi modal psikologi dengan tahap kesihatan mental generasi muda dengan menggunakan pendekatan kuantitatif dan melibatkan 485 responden generasi muda berusia 18 hingga 30 tahun. Kajian ini menggunakan instrumen psikometrik iaitu Perceived Stress Scale-10 General Anxiety Disorder-7, Patient Health Questionnaire-9 dan Psychological Capital Questionnaire-24 dalam versi Bahasa Melayu. Data kajian dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences dengan kaedah analisis deskriptif dan inferensi. Dapatan kajian menunjukkan hubungan negatif yang signifikan antara dimensi modal psikologi dengan tahap kesihatan mental. Misalnya, dimensi harapan menunjukkan hubungan negatif dengan stres (r = -0.54), manakala dimensi optimisme berkorelasi negatif dengan stres (r = -0.51). Ini mengukuhkan bukti bahawa modal psikologi merupakan sumber daya penting untuk melindungi generasi muda daripada kesan buruk masalah kesihatan mental seperti stres, kebimbangan, dan kemurungan.Selain itu, hasil dapatan kajian turut membuktikan bahawa modal psikologi berfungsi sebagai sumber kekuatan dalaman seperti modal ekonomi dalam pengurusan kehidupan dan berpotensi menjadi mekanisme perlindungan bagi kesejahteraan mental individu. Hasil kajian ini memberikan implikasi penting dalam merangka strategi intervensi berfokuskan pembangunan modal psikologi dalam kalangan generasi muda, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran masa depan dengan lebih berkesan.

Reference
  • No Data Recorded