Kepimpinan Transformasional dan Motivasi Guru: Isu, Cabaran dan Strategi
List of Authors
Bity Salwana Alias, Kong Yann Ching
Keyword
Kepimpinan Transformasional, Motivasi Guru
Abstract
Kertas konsep ini membincangkan hubungan antara kepimpinan transformasional dan motivasi guru dalam konteks pendidikan Malaysia dengan menumpukan isu, cabaran dan strategi pelaksanaan di sekolah. Perbincangan diasaskan pada sorotan literatur daripada kajian empirikal bagi mengenal pasti pola dapatan berkaitan pengaruh dimensi pengaruh ideal, motivasi inspirasi, rangsangan intelektual dan pertimbangan individu terhadap motivasi guru. Sorotan menunjukkan bahawa kepimpinan transformasional lazimnya berkait secara positif dengan motivasi, kepuasan kerja dan kesediaan guru berinovasi, namun pelaksanaannya sering terjejas oleh kekangan masa, tekanan pentadbiran, budaya organisasi yang berorientasikan prestasi, serta isu kesejahteraan pasca pandemik. Sehubungan itu, kertas konsep ini mencadangkan strategi berasaskan empat dimensi kepimpinan transformasional, termasuk pengukuhan teladan nilai, komunikasi visi dan pengiktirafan, pemerkasaan pembangunan profesional, serta sokongan emosi dan kesejahteraan guru. Dapatan konseptual ini diharapkan dapat menjadi panduan kepada pemimpin sekolah dan asas kepada penyelidikan lanjutan dalam memperkukuh motivasi guru secara mampan.