Meneroka Ciri-Ciri Guru Sains Berdasarkan Persepsi Murid Berpencapaian Tinggi dan Rendah di Sekolah Kurang Murid
List of Authors
Puvarasie Anathan
Keyword
ciri guru sains, persepsi murid, murid berpencapaian tinggi, murid berpencapaian rendah, sekolah kurang murid
Abstract
Kajian ini bertujuan meneroka ciri-ciri guru sains berdasarkan persepsi murid berpencapaian tinggi dan murid berpencapaian rendah di sekolah kurang murid. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian kes bagi memperoleh pemahaman mendalam tentang pengalaman pembelajaran murid serta amalan pengajaran guru sains. Pemilihan peserta kajian dibuat secara persampelan bertujuan yang melibatkan murid berpencapaian tinggi dan rendah. Data kajian dikumpul melalui temu bual separa berstruktur dan dianalisis menggunakan kaedah analisis tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa murid berpencapaian tinggi cenderung menekankan ciri guru sains yang menggalakkan penerokaan kendiri, penggunaan aktiviti eksperimen, serta peluang untuk berfikir secara kritis dan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, murid berpencapaian rendah lebih menekankan ciri guru yang bersifat penyabar, memberikan bimbingan secara berperingkat, serta menerangkan konsep sains secara jelas dan berulang. Walau bagaimanapun, kedua-dua kumpulan murid sependapat bahawa interaksi positif antara guru dan murid, sokongan emosi, serta penggunaan kaedah pengajaran yang menarik merupakan elemen penting dalam meningkatkan minat dan kefahaman terhadap pembelajaran sains. Implikasi kajian ini mencadangkan bahawa guru sains di sekolah kurang murid perlu mengamalkan pendekatan pengajaran yang fleksibel dan berbeza mengikut tahap pencapaian murid bagi mewujudkan pembelajaran sains yang lebih inklusif dan berkesan.